Program Sembang Warung di Kelantan

Pada 18 April 2019, Program Sembang Getah di Warung telah diadakan di Kg Kalai, Jeli, Kelantan. Program berkonsepkan santai ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pekebun kecil berbincang secara terus dengan pengurusan tertinggi LGM mengenai isu semasa dalam industri getah. Antara yang hadir di majlis tersebut adalah Tuan Muhammad Tuan Muda Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pembangunan dan En Muhamad Roseli bin Che Daud dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jeli.

Warung Jeliro Ore Buje dipilih kerana telah menjadi kebiasaan pekebun kecil untuk berkumpul dan minum petang di situ setelah penat bekerja. Antara isu yang diutarakan adalah mengenai kejatuhan harga getah yang memberi kesan kepada pendapatan pekebun kecil, bantuan atau insentif daripada kerajaan dan teknologi terkini daripada LGM yang dapat membantu melonjakkan harga getah. Pihak LGM telah memberi penerangan yang jelas dengan mengupas setiap isu yang diutarakan khususnya untuk memberi pemahaman kepada pekebun kecil. Dalam program itu juga, pekebun kecil berpeluang untuk mengemukakan permohonan kad PAT-G dan bantuan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Program santai seperti ini dapat menjadi ruang interaksi yang lebih berkesan antara pekebun kecil dan pengurusan tertinggi LGM untuk berbincang mengenai isu-isu dalam industri getah. Malah ia juga memberi peluang kepada pengurusan tertinggi untuk melihat sendiri dan memahami keadaan pekebun kecil di lapangan.

Tuan Muhammad wakil anggota pengurusan tertinggi LGM yang hadir

Antara pekebun kecil yang hadir