Majlis Pembukaan Rasmi Makmal Kejuruteraan Getah LGM di TARRC

Pada 11 April 2019, Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) telah membuka Makmal Kejuruteraan Getah Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Brickendonbury, Hertford. Majlis dirasmikan oleh YBrs En. Sankara N. Nair, Pengerusi LGM. Turut hadir ialah YBhg Dato' Dr. Zairossani Mohd Nor, Ketua Pengarah LGM, YBrs Dr. Fauzi Mohd Som, Ketua Pegawai Eksekutif TARRC serta YBrs En Yeaw Kok Kwey dan YBrs En Wan Ahmad Asmady Wan Md Din, Ahli-ahli Lembaga TARRC.

Tujuan makmal ini dibangunkan adalah sebagai pusat penyelidikan dan ujian bagi galas getah seismik untuk membantu komuniti yang terkesan dengan gempa bumi melalui penyelidikan, sumber ujian dan maklumat. Di samping itu makmal ini juga dapat meningkatkan serta mempromosi penggunaan teknologi LGM di seluruh dunia.

Dengan kepakaran jurutera LGM dan TARRC, satu teknologi baharu dalam bentuk mesin penguji telah dibina bagi menguji gegaran gempa bumi pada skala penuh serta berupaya melakukan ujian pada komposisi yang besar. Penyelidikan ini dapat mengurangkan impak kerosakan pada struktur-struktur bangunan penting terutamanya bangunan tinggi, hospital, jambatan dan sebagainya.

LGM dan TARRC adalah perintis dalam membangunkan produk berasaskan getah asli dan telah bekerjasama selama empat dekad untuk mengembangkan dan memajukan lagi teknologi getah. Keduanya juga memainkan peranan penting dalam penyelidikan dan pembangunan untuk melindungi struktur bangunan daripada kerosakan yang disebabkan oleh gempa bumi.

Para Jurutera TARRC di hadapan mesin ujian galas seismik baharu

Demonstrasi mesin oleh jurutera TARRC

Majlis Perasmian Pembukaan Makmal Kejuruteraan Getah LGM