Pesanan Ketua Pengarah
Mesin Torehan Automatik (ARTS) di MICCOS 2011
Getah merupakan penyumbang utama di dalam era pembangunan Malaysia. Walau bagaimanapun, sektor getah menghadapi pelbagai cabaran terutamanya kemerosotan kawasan tanaman getah, produtiviti yang rendah dan kekurangan tenaga buruh. Sebanyak 95% pengeluaran getah asli Malaysia adalah bergantung kepada pekebun kecil dan selebihnya adalah dari sektor estet. Pada tahun 2010, pengeluaran getah Malaysia adalah sebanyak 939.241 tan metrik dan pada tahun 2011, ia dijangkakan dapat memenuhi sasaran satu juta tan metrik. Pada tahun 2020, pengeluaran dijangka mencecah dua juta tan metrik dengan wujudnya kawasan penanaman baru seluas 150,000 ha dan kawasan boleh toreh seluas 1 juta hektar. Persoalan yang timbul adalah, bagaimana kita boleh meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi sasaran ini dan mengekalkan daya saing sektor hiliran?
Pada Persidangan dan Pameran Komoditi Antarabangsa Malaysia (MICCOS) yang diadakan dari 28 - 30 Oktober 2011 bertemakan "Menjana Pendapatan melalui Inovasi", inovasi Lembaga Getah Malaysia (MRB) iaitu Mesin Torehan Automatik (ARTS), telah dipertontonkan buat pertama kali di hadapan pengunjung yang hadir. MICCOS merupakan acara perdana dan acara dwi-tahunan yang mengetemukan penggiat industri dan usahawan dalam sektor komoditi.
LGM telah melancarkan buku Strategi Industri Getah Malaysia pada Mei 2010 dengan objektif untuk mengekalkan pertumbuhan industri getah di Malaysia dan mempertingkatkan produktiviti pekebun kecil dari 1,450 kg/ha kepada 1,800 kg/ha menjelang tahun 2020 menerusi inovasi seperti teknologi penuaian. Salah satu strategi LGM adalah untuk terus fokus dalam penyelidikan dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti melalui pembiakan bagi sektor huluan dan nilai tambah produk dalam sektor hiliran. Melalui Strategi ini, industri getah telah diberikan tumpuan khas di bawah NKEA Minyak Sawit dan getah juga akan dimasukkan sebagai penyumbang ke arah Pendapatan Negara Kasar. Melalui NKEA, ARTS telah menerima peruntukan sebanyak RM5.7 juta.
ARTS merupakan satu kejayaan bagi memenuhi keperluan industri dan membantu negara untuk kekal berdaya saing sebagai sebuah negara pengeluar utama getah. ARTS telah diberi penekanan khas dalam meningkatkan produktiviti dan mampu menampung masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor huluan. Penyelidikan ini telah dimulakan dengan penggabungan kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan pertanian bagi memastikan mesin menoreh automatik ini lebih berdaya maju, mesra pengguna dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Dengan ARTS sistem mekanisasi diperkenalkan di peringkat ladang dan merupakan alternatif terbaik dengan keupayaan untuk meningkatkan produktiviti penoreh dan pada masa yang sama mengatasi masalah kekurangan penoreh mahir.
ARTS merupakan mesin torehan automatik yang menggunakan mata pemotong berputar berkelajuan tinggi yang berupaya menghasilkan torehan tepat serta berupaya membuang jejala. Mesin ini akan ditetapkan pada setiap pokok dan mampu untuk menoreh secara automatik mengikut masa yang telah diprogramkan. Penggunaan ARTS pada pokok-pokok Hevea hanya memerlukan potongan sepanjang 2.5cm yang dibuat oleh bilah berputar berkelajuan tinggi. Penggunaan mesin ini sangat fleksibel dengan kekerapan penorehan dan masa torehan boleh diubah menggunakan program yang disediakan. Selain dari penorehan, alat pengumpulan lateks yang menggunakan sistem paip akan dipasang pada setiap pokok bagi pengumpulan lateks secara menyeluruh.
ARTS merupakan satu penemuan yang mampu meningkatkan produktiviti dalam sektor huluan disamping mengurangkan keperluan buruh asing serta mampu memenuhi keperluan sektor pertengahan dan hiliran bagi bahan mentah dan yang paling penting adalah untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
|
Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Salmiah Ahmad memberi penerangan mengenai ARTS kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia semasa MICCOS 2011 |
Datuk Dr Salmiah Ahmad
Ketua Pengarah
Lembaga Getah Malaysia (MRB)