Mengenai Kami
Asas dan wawasan kepada program penyelidikan di Unit Pengurusan Tanaman (UPT) adalah untuk memoden dan memangkin pengeluaran getah asli melalui penggunaan teknologi yang sesuai di dalam menguruskan kawasan tanaman dan hasil-hasil getah. Bagi merealisasikannya, UPT telah menghasilkan dan mengeluarkan teknologi-teknologi yang dapat mengekalkan mahupun meningkatkan prestasi hasil lateks dengan mengoptimakan penggunaan tanah melalui penggunaan teknologi penuaian lateks, amalan pertanian yang sesuai, agro-perhutani dan juga melalui integrasi tanaman bagi meningkatkan sosio ekonomi pengusaha tanaman getah di Malaysia.
Bidang-bidang penyelidikan utama di Unit Pengurusan Tanaman adalah agronomi, teknologi penuaian lateks, agro-perhutani, integrasi tanaman dan juga mekanisasi.
Penyelidikan-Penyelidikan Utama
Teknologi Penuaian Lateks
Teknologi penuaian lateks merangkumi teknik-teknik sistem torehan dan juga peralatan yang digunakan semasa penuaian lateks. Penemuan terpenting didalam penyelidikan teknologi penuaian lateks adalah melalui kaedah rangsangan pokok yang kemudiannya telah membawa kepada kaedah rangsangan gas yang didapati dapat memanjangkan tempoh pengaliran lateks. Teknologi penuaian lateks juga turut mengambil kira kaedah pengurusan ladang bagi menjamin produktiviti penoreh dan juga pendapatan yang akan diperoleh. Ini adalah penting memandangkan kebanyakan daripada pengusaha ladang tanaman getah di Malaysia adalah terdiri daripada pekebun-pekebun kecil.
A) Kaedah rangsangan
Kaedah rangsangan ialah satu tindakan yang dapat meningkatkan hasil lateks dengan melambatkan pembekuannya dengan atau tanpa menggunakan sebarang bahan kimia. Walau bagaimanapun pada lewat tahun 1960an, sejenis bahan kimia didapati amat sesuai dijadikan bahan rangsangan pokok. Bahan tersebut ialah Asid 2-kloroetilfosfonik (2-CEPA) yang dapat bertindakbalas dengan kehadiran air untuk membebaskan gas etilena (C2H4) pada salur lateks. Nama komersil bahan ini ialah etefon. Sehingga kini, etefon adalah merupakan bahan rangsangan utama di pasaran yang didatangkan di dalam tiga kepekatan iaitu 2.5%, 5.0% dan 10%.
B) Kaedah rangsangan pokok terkini
I) Formulasi berasaskan etefon
Pada tahun 2004, Lembaga Getah Malaysia telah melancarkan bahan perangsang berbentuk gel yang berasaskan etefon. Ia dikenali sebagai MORTEX dan penggunaannya adalah lebih kerap berbanding etefon. Kaedah penggunaannya adalah sama dengan kaedah penggunaan etefon (sapuan) dan ia boleh digunakan seawal pokok dibuka toreh pada panel BO-1. Kelebihan penggunaan MORTEX ialah ia dapat mengurangkan kejadian kering kulit berbanding dengan penggunaan etefon.
II) Kaedah rangsangan gas
Pada tahun 1990, kaedah menggas RRIMFLOW (RF) dan REACTORRIM telah diperkenalkan. Kedua-dua teknik rangsangan adalah menggunakan gas etilina (C2H4). Kaedah ini didapati lebih berkesan apabila menggunakan sistem torehan satu per lapan lilitan yang ditoreh menaik (1/8S ↑) pada panel atas (HO). Kekerapan torehan adalah sama ada sekali di dalam tiga hari (d/3) atau sekali di dalam empat hari (d/4). Pada tahun 2004, kaedah terkini bagi rangsangan gas iaitu G-FLEX telah diperkenalkan oleh LGM. Daripada segi hasil, G-FLEX masih memberikan kesan yang sama seperti teknologi rangsangan gas yang lain. Manakala daripada segi penggunaan, G-FLEX adalah merupakan gabungan ciri-ciri RR dan RF. Ia mudah dipasang dan telah mula digunakan oleh pekebun kecil.
C) Sistem torehan berintensiti rendah (LITS)
Sistem torehan berintensiti rendah atau LITS adalah merupakan konsep yang menggabungkan pendekatan nisbah kawasan dan tenaga kerja (kawasan:tenaga kerja) dengan intensiti torehan untuk mengatasi masalah yang wujud pada sistem torehan konvensional. Sehingga kini LGM telah memperkenalkan sistem torehan LITS d/3 dan d/4 yang boleh dipraktikkan oleh pihak estet mahupun pekebun kecil. Pendekatan LITS adalah berhubung antara satu sama lain iaitu dengan:
- Mengurangkan intensiti torehan dengan penekanan terhadap kekerapan torehan
- Meningkatkan produktiviti pokok dengan menggunakan kaedah rangsangan
- Meningkatkan produktiviti tanah dengan meningkatkan bilangan hari menoreh dan produktiviti pokok
- Meningkatkan produktiviti penoreh dengan meningkatkan nisbah kawasan dan tenaga kerja (kawasan: tenaga kerja)
- Meningkatkan pendapatan dengan meningkatkan produktiviti penoreh
D) Mekanisasi di dalam penuaian lateks
Objektif mekanisasi di dalam penuaian lateks adalah untuk cuba mengatasi masalah tenaga kerja dan juga bagi mempermudahkan kerja-kerja di ladang agar menjadi lebih efisyen. Kebanyakan teknologi yang dibangunkan adalah melibatkan automasi dan mekanisasi pisau toreh dan juga pengumpulan hasil lateks dan sekerap.
Pengurusan Tanah dan Amalan Agronomi
Jenis tanah di Malaysia adalah berbeza dan bergantung kepada topografi kawasan. Ini menyebabkan ia mempunyai sifat semulajadi fizikal dan kimia yang berbeza. Justeru, input agronomi dan pengurusan yang diberikan adalah turut berbeza bergantung kepada jenis tanah tersebut.
A) Pengesyoran baja bagi pokok muda
Pada tahun 1998, bagi mengatasi masalah tenaga kerja dan untuk mengurangkan kos, kekerapan pembajaan bagi pokok muda telah dikurangkan daripada 21 kepada 13 pusingan. Pengesyoran ini telah di gunapakai secara meluas di dalam industri getah sehingga kini.
B) Kompos rhizobium
Institut Penyelidikan Getah Malaysia telah mengesyorkan pengenalan tanaman legum sebagai tanaman penutup bumi. Untuk tujuan tersebut, benih daripada strain rhizobium terpilih digunakan sebagai kompos bagi mempastikan pembentukan nodul dan pengikatan nitrogen berlaku pada tanaman legum ini. Kompos ini terdiri daripada gabungan sabut kelapa, tanah dan kalsium karbonat dan ia adalah berbentuk serbuk. Di dapati pengikatan nitrogen di dalam keadaan yang optima dapat meningkatkan hasil dan pertumbuhan legum yang seterusnya juga dapat membantu menyuburkan tanah.
Ladang Hutan Getah
Amalan penanaman dan agronomi bagi ladang hutan getah adalah lebih bertujuan untuk memaksimakan pengeluaran kayu dan mendapatkan pulangan ekonomi yang baik. Ladang hutan getah dapat dibahagikan kepada dua iaitu untuk tujuan kayu dan lateks dan juga untuk pengeluaran kayu sahaja.
Ladang hutan getah – pengeluaran kayu dan lateks
Bagi jenis ladang hutan getah ini, tual kayu adalah merupakan produk utama manakala lateks adalah merupakan produk sampingan. Pokok di ladang hutan getah ini dibiarkan untuk membesar tanpa ditoreh selama lapan tahun. Ini bagi mempastikan tumbesaran pokok tersebut dapat mencapai isipadu kayu yang dikehendaki. Pokok-pokok ini hanya ditoreh pada tahun kesembilan selepas penanaman. Tempoh torehan adalah selama tujuh tahun. Pokok ini kemudiannya akan ditebang selepas tempoh 15 tahun.
Ladang hutan getah – pengeluaran kayu
Pokok di ladang hutan getah ini ditanam khusus bagi pengeluaran kayu. Pokok-pokok ini tidak akan ditoreh langsung dan akan ditebang setelah mencapai tempoh lima belas tahun penanaman.
Integrasi Tanaman - Penanaman Jathropa di Bawah Eko-Sistem Getah
Melihat kepada potensi tanaman jatropha sebagai sumber alternatif bio-diesel, Kerajaan Malaysia telah merancang untuk membangunkan penanaman Jatropha di Malaysia. Sebagai usaha permulaan kerajaan Malaysia telah mengarahkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk melaksanakan projek perintis tanaman Jatropha di Kota Marudu Sabah. Projek perintis ini perlu dijalankan dalam skala komersial yang sesuai diintegrasikan aktiviti pengeluaran dan pemprosesan jatropha untuk penghasilan biodesel. Bagi melaksanakan projek ini Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah diberi tanggungjawab sebagai peneraju bagi merancang dan melaksanakan projek perintis tanaman Jatropha. Projek perintis ini bertujuan untuk menilai dari segi daya maju projek dalam konteks kesesuaian tanaman dan pulangan ekonomi.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Dr Zulkefly Sulaiman
Ketua Unit Pengurusan Tanaman
Emel: zulkefly@lgm.gov.my